Oleh Khairatul Nadia Ramli
Isu kesihatan seksual perlu ditangani melalui pendidikan berstruktur dan berterusan, bermula dari rumah.
Mengulas mengenai kejadian rogol beramai-ramai yang melibatkan remaja baru-baru ini, Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Noor Azimah Muhammad berkata insiden tersebut menimbulkan kebimbangan serius terhadap tahap pemahaman golongan muda tentang kesihatan seksual serta keberkesanan pendidikan dan komunikasi dalam keluarga.
“Mangsa merupakan seorang gadis berusia 15 tahun, manakala pelaku juga terdiri daripada remaja bawah umur, sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pendidikan kesihatan seksual secara menyeluruh, khususnya di peringkat keluarga.
“Insiden seperti ini harus membuka mata kita bahawa pendidikan kesihatan seksual bukan hanya tanggungjawab sekolah, tetapi bermula di rumah melalui komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak,” katanya.
Menurutnya, dapatan kajian terkini yang dijalankan oleh beliau pada tahun 2025 menunjukkan wujud jurang pengetahuan yang ketara antara ibu bapa dan anak-anak dalam aspek kesihatan seksual dan reproduktif.
Kajian tersebut menilai enam bidang utama, termasuk akil baligh, hubungan dan sentuhan, kehamilan, penyakit jangkitan kelamin, keselamatan siber serta undang-undang perlindungan kanak-kanak, jelasnya.
“Ibu bapa secara umum menunjukkan tahap pengetahuan yang tinggi dalam aspek asas seperti anatomi tubuh, tanda akil baligh dan hak keselamatan kanak-kanak, sekali gus menjadikan perkara tersebut sebagai topik perbincangan yang boleh dikongsikan bersama anak-anak.
“Tahap pengetahuan ibu bapa adalah baik dan mereka hanya perlukan keyakinan untuk mengambil tanggungjawab melakukan pendidikan seksual dan reproduktif kepada anak-anak mereka sendiri di rumah,” katanya.
Walaubagaimanapun, tahap pengetahuan remaja didapati berada pada tahap sederhana.
“Kekeliruan masih wujud berkaitan penyakit jangkitan kelamin, keselamatan digital serta aspek perundangan perlindungan kanak-kanak.
“Kekurangan kefahaman ini menjadikan remaja lebih terdedah kepada salah laku seksual, tekanan rakan sebaya dan manipulasi dalam talian,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak-anak merupakan elemen penting dalam menangani jurang ilmu ini, khususnya dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.
“Ibu bapa perlu berani memulakan perbualan lebih awal dan peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak kerana langkah ini mampu mencegah mereka daripada menjadi mangsa bahaya sosial dan keganasan seksual,” katanya.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan ibu bapa untuk menggunakan undang-undang sedia ada untuk melindungi anak-anak mereka dari menjadi mangsa seks.
“Undang-undang Malaysia secara jelas melindungi remaja bawah umur, dimana adalah merupakan satu kesalahan dan dikenali sebagai ‘rogol statutori’ apabila berlakunya sebarang hubungan seksual melibatkan remaja perempuan yang kurang dari 16 tahun biarpun ianya dilakukan dengan persetujuan mangsa.
“Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu mengambil tanggungjawab untuk memantau aktiviti anak-anak semasa dalam talian.
“Penggunaan internet tanpa kawalan yang berkesan turut akan mendedahkan anak-anak tingkah laku berisiko seperti pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dan lucah dan pergaulan maya dengan individu tidak dikenali yang boleh membuka ruang kepada eksploitasi seksual, termasuk fenomena sexual grooming,” katanya.
Menurut Dr Noor Azimah, Sexual grooming merujuk kepada proses manipulasi psikologi yang dilakukan oleh individu dewasa atau lebih berusia untuk mendapatkan kepercayaan kanak-kanak atau remaja melalui medium dalam talian sebelum melakukan eksploitasi seksual.
“Kurangnya kesedaran ibu bapa terhadap taktik ini menyebabkan tanda-tanda awal sering terlepas pandang.
“Pemantauan penggunaan internet bukan bertujuan mengongkong kebebasan anak-anak, sebaliknya sebagai langkah perlindungan.
“Kepekaan ibu bapa terhadap perubahan emosi, kecenderungan menyendiri, pergaulan dalam talian yang mencurigakan serta pengabaian penjagaan diri penting bagi mengesan risiko lebih awal dan mendapatkan bantuan profesional sekiranya perlu.
“Kejadian tragis yang melibatkan remaja tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pendidikan kesihatan seksual secara bersepadu di rumah dan di sekolah bagi melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, beretika dan mampu melindungi diri daripada ancaman sosial,” katanya.

Profesor Madya Dr Noor Azimah Muhammad
Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
