Persoalan??
Dapatkan Jawapan Anda di sini…
Apakah itu Audit?
Pengauditan adalah proses di mana individu yang kompeten, bebas mengumpul dan menilai segala bukti mengenai maklumat yang berhubung rapat dengan entiti ekonomi yang spesifik untuk tujuan mengenalpasti dan seterusnya melaporkan tahap pertalian diantara maklumat yang dikenalpasti dan kriteria yang telah ditetapkan. Audit Dalam sebagai badan bebas, menjalankan penilaian yang objektif dan aktiviti perunding bertujuan untuk menambah nilai dan mempertingkatkan operasi organisasi. Ia membantu organisasi mencapai objektifnya melalui pendekatan audit yang berdisiplin dan sistematik untuk menilai dan mempertingkatkan keberkesanan risiko pengurusan, kawalan dan proses tadbir urus. Hasil daripada auditan adalah dalam bentuk laporan.
Apakah Tugas Juruaudit Dalam ?
•Memeriksa dan menilai semula setiap aktiviti pengurusan samada ianya mematuhi pekeliling.
•Memastikan setiap objektif, polisi, perancangan, prosedur dan sistem kawalan dilakukan dengan sempurna.
•Bertindak sebagai pemangkin kepada isu-isu yang kritikal bagi mencapai keberkesanan dan kecekapan yang berterusan.
•Menyediakan laporan di Mesyuarat Jawatankuasa Audit tentang penilaian terhadap sistem kawalan dalaman.
Kenapa Jabatan saya terpilih untuk di audit?
Pihak Audit Dalam merancang satu pelan perancangan audit yang komprehensif berdasarkan kitaran 3 tahun dan mengenal pasti auditan yang akan dilakukan pada tahun-tahun yang mendatang. Keputusan perlaksanaan audit yang dimasukkan di dalam perancangan audit tahunan adalah berdasarkan pelan jangkapanjang serta input daripada Jawatankuasa Audit, Pentadbiran, Pengurusan Jabatan, Juruaudit Luar dan kakitangan Audit Dalam. Pelan itu disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Audit dan boleh dipinda pada bila-bila masa untuk memasukkan permintaan audit, projek khas atau perubahan kepentingan. Jawatankuasa Audit bermesyuarat tiga kali setahun untuk mengkaji kemajuan perancangan audit.
Tidak semua auditan dipilih melalui kaedah yang sama. Bidang boleh dipilih untuk auditan jika:
•Penilaian faktor risiko dianggap tinggi.
•Peningkatan isu-isu pematuhan
•Ia adalah teras aktiviti perkhidmatan
•Adanya laporan penyelewengan berlaku
•Permintaan daripada pihak pengurusan
Apakah Perbezaan Di antara Audit Dalam Dan Audit Luar ?
Audit Dalam
•Ianya ditubuh berdasarkan kepada Pekeliling Perbendaharaan Bil. 9/2004 dan Pekeliling Am Bil. 3/1998 oleh Jabatan Perdana Menteri.
•Lapor kepada Jawatankuasa Audit (JKA).
•Skop auditan ialah pengurusan, kewangan, prestasi dan audit khas.
•Memastikan pengurusan yang berkesan dan cekap.
•Staf Audit Dalam terdiri daripada staf UKM
•Auditan berterusan dan tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Sijil Audit.
•Audit Dalam ditubuhkan di bawah kuasa pentadbiran dan bertanggungjawab kepada pihak pengurusan.
Audit Luar
•Ianya ditubuhkan dibawah Akta Audit 1957.
•Lapor kepada Parlimen.
•Skop auditan memberi tumpuan kepada penyata kewangan.
•Memastikan ketetapan dan kesempurnaan laporan kewangan.
•Staf Audit Luar terdiri daripada staf Jabatan Audit Negara.
•Auditan pada hujung tahun dan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Sijil Audit.
•Audit Luar ditetapkan oleh statut dan bertanggungjawab kepada Parlimen.
Apakah Audit Susulan ?
Audit susulan adalah satu program yang dibuat untuk memastikan perkara-perkara yang telah dipersetujui untuk diambil tindakan pembetulan telah dilakukan oleh pihak pengurusan yang diaudit (auditi) seperti mana yang telah dinyatakan dalam laporan audit asal. Audit susulan biasanya dijalankan dalam masa 6 hingga 12 bulan selepas laporan audit asal dikeluarkan oleh pihak Audit.
Apakah itu KAWALAN DALAMAN?
Kawalan Dalaman adalah :
•Sistem berintegrasi yang diwujudkan untuk memastikan jabatan anda berada pada landasan untuk mencapai misinya.
•Sistem berintegrasi bertujuan untuk mengalakkan keberkesanan, mengurangkan risiko kehilangan aset-aset dan memastikan kebolehpercayaan data.
•Sistem berintegrasi mengalakkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan.
Aktiviti-aktiviti kawalan termasuklah:
•Memberi kebenaran transaksi * Meluluskan transaksi * Pengesahan
• Penyata penyesuaian * Pengasingan tugas * Mengkaji prestasi operasi
• Kawalan Jaminan Aset * Pemantauan akaun-akaun * Analisa * Perbandingan
• Laporan * Pemerhatian * Komunikasi