iCitra 2026 Iktiraf Kertas Terbaik dalam Enam Tema Pendidikan Liberal dan Pembelajaran Sepanjang Hayat

iCitra 2026 Iktiraf Kertas Terbaik dalam Enam Tema Pendidikan Liberal dan Pembelajaran Sepanjang Hayat

BANGI, 18 September 2026 – Persidangan Antarabangsa Maya Pengajian Liberal (iCitra 2026) yang berlangsung pada 17 hingga 18 September 2026 telah mengiktiraf pembentangan kertas terbaik dalam enam tema utama persidangan. Pengiktirafan ini meraikan sumbangan penyelidik dan ahli akademik dalam memperkasa pendidikan liberal, Pengajian Citra dan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU).

Bertemakan “Multidisciplinary Education for Human-Centred Lifelong Journey”, iCitra 2026 mengetengahkan pelbagai penyelidikan dan inovasi pendidikan yang menekankan pembangunan insan, integrasi ilmu, kebolehpasaran graduan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Bagi Tema 1: Konsep dan Falsafah Pendidikan Liberal, Citra dan MPU, tempat pertama dimenangi oleh Noor Syahida Md Soh, Nazri Muslim dan Nasruddin Yunos dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi kertas bertajuk “Keberkesanan dan Cabaran Pelaksanaan Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum: Analisis Tematik terhadap Falsafah dan Isu Semasa serta Penghayatan Etika dan Peradaban”.

Tema 2: Reka Bentuk Kurikulum Pendidikan Liberal, Citra dan MPU pula menyaksikan kemenangan pasukan UKM yang diketuai Nurhidayah Bahar bersama Ammar Redza Ahmad Rizal, Rimaniza Zainal Abidin dan Fadilla ’Atyka Nor Rashid melalui kertas “Generative AI Opportunities for Collaborative Learning in UKMFolio”. Kajian ini mengetengahkan potensi kecerdasan buatan generatif dalam pembelajaran kolaboratif.

Bagi Tema 3: Bahasa, Literasi dan Kemanusiaan dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat, kertas “Development and Validation of Humanity-Centric Curriculum Evaluation Scale for University Students in Malaysia” oleh Muhammad Fazli Abdullah dan rakan penyelidik dari UKM, MAHSA University dan Universiti Poly-Tech Malaysia meraih tempat pertama.

Tema 4: Dasar dan Tadbir Urus Pendidikan Liberal, Citra dan MPU dimenangi oleh Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik bersama Azyantee Mohd Zawawi dan Siti Jamilah Ashar menerusi kertas “Memperkasakan Jati Diri dan Peradaban Mahasiswa Menerusi Reka Bentuk Governan Imersif Kurikulum Baharu”.

Bagi Tema 5: Pembangunan Pelajar dan Kebolehpasaran Graduan, Doris Padmini A/P S Selvaratnam dari UKM memenangi tempat pertama melalui kertas “Bridging Policy and Practice: Implementing SULAM in EPPE6154 Economics of Social Policy Course to Drive Graduate Employability and Soft Skill Mastery”, yang menghubungkan pelaksanaan pembelajaran berasaskan perkhidmatan dengan pembangunan kompetensi graduan.

Tema 6: Sinergi Akademia, Industri dan Komuniti untuk Pendidikan Masa Hadapan menyaksikan kemenangan pasukan UKM yang dianggotai Masyithoh Nur Afiani, Muhammad Asyraf Hakimi Samsudin, Mysarah Maria Roslee, Shang Bo dan Noor Sharizad Rusly menerusi kertas “Artificial Intelligence, Human Agency and Ethical Judgment: Philosophical Literacy for a Technology-Mediated Society”.

Selain pemenang tempat pertama, iCitra 2026 turut mengiktiraf pembentangan yang menduduki tempat kedua dan ketiga bagi setiap tema. Pengiktirafan ini mencerminkan kepelbagaian pendekatan penyelidikan, daripada pembangunan kurikulum dan pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan kepada inovasi digital serta pembelajaran bersama komuniti.

Juga, 10 pemenang kertas terbaik dari kalangan penyertaan pelajar Sarjana Muda turut dinobatkan. Tujuannya untuk menyemarakkan budaya keilmuan dalam kalangan pelajar, dan seterusnya mengenengahkan fokus bidang Sains Citra kepada generasi pelapis ini. 

Secara keseluruhannya, iCitra 2026 memperlihatkan bahawa pendidikan liberal dan Pengajian Umum terus relevan dalam mendepani perubahan teknologi dan masyarakat, khususnya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga beretika, berdaya fikir dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Share Now:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *