Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur Menerima Kunjungan Pengerusi UKM

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Hafizah Mohamad Isa

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2019 – Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi UKM mengadakan lawatan ke Kampus Jalan Raja Muda UKM pada pagi ini bermula dengan lawatan ke Fakulti Pergigian UKM pada jam 8.30 pagi. Lawatan dimulakan dengan melawat di sekitar bangunan fakulti termasuklah klinik-klinik pergigian pakar dan peadiatrik, makmal pergigian, makmal pembelajaran dan di akhiri dengan mesyuarat bersama ahli pengurusan Fakulti Pergigian.

Manakala lawatan ke Fakulti Sains Kesihatan UKM pula, pada jam 10.30 pagi bermula di Klinik Optometri untuk melihat kemudahan dan prasarana yang terdapat di fakulti tersebut. Tan Sri juga berpeluang untuk melihat sendiri kemudahan bas Klinik Optometri Bergerak (KOB) yang merupakan salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh fakulti kepada masyarakat.

Lawatan ini turut di sertai oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki Mustafa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Tuan Haji. Abd. Razak Hussin, Pengarah Eksekutif Pentadbiran, Prof. Dr. Bariah Mohd. Ali, Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan Prof. Madya Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom, Dekan Fakulti Pergigian UKM.

Terdahulu, Tan Sri telah melawat Fakulti Farmasi UKM pada 31 Januari 2019 jam 2.30 petang dan disambut oleh Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal, Dekan Fakulti Farmasi. Sesi mesyuarat telah diadakan pada petang tersebut dan di akhiri dengan lawatan ke makmal farmasi dan Makmal CLIPS (Clinical Pharmacy Simulation Laboratory).

Lawatan ini diadakan bertujuan untuk melihat persekitaran Kampus Jalan Raja Muda serta berpeluang untuk mengenali serta berbincang dengan ahli setiap pengurusan dan kakitangan fakulti dengan lebih dekat lagi.

Kampus Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Raja Muda UKM adalah terdiri daripada tiga buah fakulti iaitu Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi. Selain berperanan menyediakan pendidikan dan kemudahan latihan kepada para pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, perkhidmatan rawatan kepada masyarakat setempat juga disediakan. Siri  lawatan Pengerusi UKM ke Pusat Tanggungjawab Kampus Kuala Lumpur diteruskan dengan lawatan ke Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) di Cheras akan diadakan pada 15 Februari 2019 jam 2.45 petang.