TIMBALAN PENGETUA

DR. KAMARUL AFIZI BIN KOSMAN

kamarulafizi@ukm.edu.my
No. Tel : 03-8921 4423

Ijazah Sarjana Muda Seni Bina (UTM)
Sarjana Seni Bina (UTM)
Doktor Falsafah Seni Bina (UTM)

Dr. Kamarul Afizi bin Kosman merupakan Timbalan Pengetua Kolej Rahim Kajai (KRK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak Oktober 2025. Beliau juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Bina dan Alam Bina (SERAMBI), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM. Pengalaman beliau dalam bidang akademik dan pengurusan meliputi pendidikan seni bina, penyelidikan, pemeliharaan warisan serta pembangunan mahasiswa.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Bina pada tahun 2000, diikuti Ijazah Sarjana Seni Bina pada tahun 2006, sebelum menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2011. Kepakaran beliau merangkumi sejarah dan teori seni bina, identiti seni bina kebangsaan, seni bina tradisional Melayu serta pendidikan seni bina. Beliau juga aktif dalam penyelidikan rentas sempadan yang menghubungkan seni bina, warisan, kebudayaan dan peradaban Melayu.

Dalam bidang akademik, beliau mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan dan pengiktirafan program pendidikan seni bina. Pada tahun 2012, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Akreditasi Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) Bahagian 1 bagi program Sarjana Muda Sains Seni Bina UKM. Penglibatan tersebut menyumbang kepada usaha mendapatkan pengiktirafan penuh LAM bagi program berkenaan. Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM dari tahun 2008 hingga 2016, selain menyumbang kepakaran sebagai ahli panel penilai Majlis Akreditasi dan Pendidikan Seni Bina Malaysia (MAPs Malaysia).

Sumbangan beliau turut terserlah melalui penyelidikan dan penerbitan ilmiah berkaitan seni bina warisan, identiti kebangsaan dan kebudayaan Melayu. Beliau telah menghasilkan pelbagai karya akademik yang merangkumi jurnal terindeks, buku, bab dalam buku dan prosiding, termasuk penglibatan dalam kajian berkaitan teknologi, kelestarian peradaban Melayu serta dokumentasi warisan. Pengalaman penyelidikan tersebut turut memperkukuh kedudukan beliau sebagai akademia yang menghubungkan ilmu seni bina dengan konteks sejarah, budaya dan masyarakat.

Di luar lingkungan akademik, beliau turut memberikan sumbangan kepada pemeliharaan warisan dan pembangunan masyarakat, khususnya di Negeri Sembilan. Sejak tahun 2019, beliau dilantik sebagai Felo Kebudayaan Yayasan Undang Johol dan terlibat dalam usaha mendokumentasikan adat serta kebudayaan Johol. Hasil penyelidikan beliau turut diterbitkan melalui karya Warisan Adat Johol: Istiadat Kerjan Undang Johol, yang menjadi antara usaha penting dalam merekod dan memelihara warisan adat masyarakat setempat untuk rujukan generasi akan datang.

Sebagai Timbalan Pengetua KRK, beliau turut memainkan peranan dalam pengurusan dan pembangunan mahasiswa, termasuk aspek kebajikan, sahsiah dan persekitaran kehidupan kolej. Dalam masa yang sama, beliau juga memastikan kebajikan Felo Penghuni berada dalam keadaan sejahtera. Gabungan kepakaran dalam seni bina, pendidikan, penyelidikan, warisan dan kebudayaan memberikan nilai tambah kepada peranan beliau dalam membangunkan warga KRK yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi turut mempunyai kesedaran terhadap identiti, budaya, kelestarian dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Ucapan Timbalan Pengetua

“Assalamualaikum w.b.t., salam sejahtera dan Salam Legasi Rubah Merah.

Kolej Rahim Kajai sebagai sebuah Kolej Akademia sentiasa berusaha menyediakan ekosistem yang menyokong perkembangan mahasiswa secara menyeluruh. Justeru, pembangunan kolej perlu bergerak seiring antara pengisian akademik, pembangunan bakat, keusahawanan, kepimpinan dan pembentukan komuniti yang aktif.

Dalam merealisasikan hasrat tersebut, pembangunan mahasiswa daripada pelbagai aspek akan dititiberatkan seperti penulisan karya, keusahawanan, kepimpinan, sukan, pengucapan awam, akademik, inovasi dan kebudayaan. Dalam pada itu, pembangunan program yang berimpak dan relevan menjadi antara keutamaan kami. Setiap inisiatif yang dilaksanakan diharapkan bukan sekadar memenuhi takwim aktiviti, tetapi mampu menghasilkan pengalaman, kemahiran dan nilai tambah yang dapat dimanfaatkan mahasiswa dalam kehidupan akademik, kerjaya dan masyarakat.

Pada masa yang sama, pemerkasaan jaringan alumni akan terus diberikan perhatian. Alumni merupakan sebahagian daripada identiti dan legasi Kolej Rahim Kajai di samping menjadi sumber pengalaman, kepakaran dan jaringan yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan mahasiswa serta kemajuan kolej.

Aspek pembangunan infrastruktur, fasiliti dan persekitaran kolej juga perlu terus diperkasakan agar selari dengan aspirasi Kolej Akademia. Persekitaran pembelajaran yang kondusif, inklusif dan lestari penting dalam menyokong kesejahteraan serta perkembangan warga kolej. Seiring dengan itu, prinsip kelestarian dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) akan terus diterapkan dalam perancangan pembangunan dan pengurusan kolej.

Saya percaya bahawa pembangunan Kolej Rahim Kajai bukan hanya tentang fizikal dan program yang dilaksanakan tetapi tentang membina sebuah ekosistem yang mampu menghubungkan ilmu, pengalaman, jaringan dan peluang.

Semoga setiap warga Kolej Rahim Kajai terus memainkan peranan dalam membina kolej yang progresif, berimpak dan bersedia untuk masa hadapan.

Bersama membina komuniti. Bersama mencipta impak. Bersama meneruskan legasi

Dr. Kamarul Afizi Kosman
Timbalan Pengetua 
Kolej Rahim Kajai 
Universiti Kebangsaan Malaysia