Pengenalan
Kolej Rahim Kajai, Universiti Kebangsaan Malaysia
Kolej Rahim Kajai (KRK) merupakan salah sebuah kolej kediaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai sejarah panjang dalam pembentukan kehidupan mahasiswa di kampus. Sejak penubuhannya pada tahun 1983, KRK telah melalui beberapa fasa perkembangan dari segi nama, fungsi, identiti dan peranan, seiring dengan perubahan landskap pendidikan tinggi serta aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia.
Daripada Kampung Siswa F kepada Kolej Rahim Kajai
Sejarah Kolej Rahim Kajai bermula operasi pada 31 Januari 1983 apabila kolej ini dikenali sebagai Kampung Siswa F (KAMSIS (F)). Pada peringkat awal penubuhannya, kolej ini menjadi sebahagian daripada ekosistem penempatan mahasiswa UKM yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai bidang pengajian dengan pelantikan Tuan Hj. Mohd Salleh bin Hj. Hussein sebagai Pengetua pertama KAMSIS F.
Rekod kepimpinan mahasiswa menunjukkan bahawa JAKSA KAMSIS F telah pun wujud sejak sesi 1983/1984 dengan Allahyarham Mohd Nadzer bin L. Jiwa sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi (JAKSA) yang pertama direkodkan. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan kolej ini menjadi tempat lahirnya pelbagai barisan pemimpin mahasiswa yang kemudiannya menyumbang dalam pelbagai sektor profesional dan masyarakat.
Nama KAMSIS F kemudiannya berkembang menjadi KAMSIS Rahim Kajai, sebelum melalui satu lagi perubahan identiti sebagai Kompleks Siswa (KOMSIS) Rahim Kajai. Sebagai tambahan info, Terma F masih digunakan di dalam Bulan Sabit Merah Malaysia Kolej Rahim Kajai iaitu Detachment 88F.
Salah satu detik penting dalam sejarah kolej ialah apabila KAMSIS Rahim Kajai disempurnakan perasmiannya pada 28 Januari 1994 Masihi bersamaan 16 Syaaban 1414 Hijrah oleh YB Dato’ Sri Hj. Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan Malaysia dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada tahun 2009. Peristiwa bersejarah tersebut terus terpahat dalam memori fizikal kolej melalui tandatangan beliau yang masih tersemat pada tugu dinding di hadapan blok pentadbiran.

Daripada KAMSIS kepada KOMSIS dan seterusnya kepada Kolej Rahim Kajai, perubahan nama ini bukan sekadar perubahan pentadbiran atau penjenamaan. Ia menggambarkan perkembangan sebuah institusi kediaman mahasiswa yang terus menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan keperluan warga universiti.
Daripada Kolej Kediaman kepada Kolej Akademia
Dalam perkembangan seterusnya, konsep Kolej Kediaman menjadi asas kepada pengurusan kehidupan mahasiswa di KRK. Namun, peranan kolej terus berkembang daripada sekadar menyediakan ruang kediaman kepada sebuah komuniti yang membentuk pengalaman pendidikan mahasiswa secara lebih menyeluruh.
Hari ini, Kolej Rahim Kajai mengekalkan nama dan identitinya sebagai KRK, namun membawa pendekatan Kolej Akademia yang menekankan pembangunan mahasiswa secara holistik. Kehidupan di kolej tidak hanya tertumpu kepada aspek penginapan tetapi turut merangkumi pembangunan akademik, kepimpinan, sahsiah, komunikasi, kebudayaan, kerohanian, jaringan alumni, kesukarelawanan dan penglibatan dalam komuniti.
Pendekatan ini selari dengan tradisi KRK yang sejak dahulu lagi menjadi ruang mahasiswa untuk membina pengalaman di luar bilik kuliah.
Rahim Kajai: Nama yang membawa legasi
Nama Rahim Kajai diabadikan sebagai identiti kolej bagi mengenang tokoh kewartawanan Melayu, Abdul Rahim bin Haji Salim yang lebih dikenali sebagai Rahim Kajai dan sering dikenang sebagai Bapa Kewartawanan Melayu.
Nama tersebut bukan sekadar menjadi nama sebuah kolej, malah membawa bersama nilai ilmu, pemikiran, komunikasi dan keberanian menyampaikan gagasan kepada masyarakat. Kisah dan sumbangan tokoh Rahim Kajai diperincikan dalam bahagian khas mengenai Tokoh Rahim Kajai.
Kolej yang Terus Berkembang Mengikut Zaman
Sepanjang sejarahnya, Kolej Rahim Kajai pernah melalui beberapa identiti dan penekanan utama dalam kehidupan kolej. KRK pernah dikenali sebagai KAMSIS Sukan yang pernah banyak kali menjuarai pertandingan sukan semasa fasa awal penubuhannya dan menempatkan ramai atlet di kolej ini sebelum berkembang kepada Kolej Kebudayaan, kemudian melalui fasa sebagai Kolej Kerohanian. Setiap fasa meninggalkan warisan dan pengalaman tersendiri dalam pembentukan identiti warga Kajai.
Legasi tersebut dapat dilihat melalui pelbagai pencapaian mahasiswa dalam bidang sukan, kebudayaan, kesenian, pengucapan awam, kepimpinan dan kerohanian. Sebagai contoh, KRK pernah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Inter College Arts Festival (ICAF) 2018 dan tempat ketiga ICAF 2023 selain melahirkan kumpulan dan bakat mahasiswa dalam bidang teater, sastera, nyanyian dan seni persembahan.
Dalam bidang sukan pula, warga KRK terus mencipta pencapaian di peringkat Universiti pada awal penubuhannya dek sesuai kerana berdekatan dengan kompleks sukan dan padang, termasuk kejayaan meraih pingat serta pelbagai pencapaian lain dalam pertandingan antara kolej antaranya ialah naib johan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) 2010 dan 2013. Antara SUKEM yang berjaya KRK mengumpul pingat tertinggi dalam abad ke-21 ini ialah pada SUKEM 2010 dengan kutipan 22 pingat iaitu 5 emas, 6 perak dan 11 pingat gangsa.
Tradisi membangunkan mahasiswa juga diteruskan melalui program-program kepimpinan. Antaranya ialah Kajai Youth Leadership, yang menjadi platform untuk membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kepimpinan mahasiswa. Program tersebut turut memperlihatkan usaha KRK membentuk pemimpin muda yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. KRK juga kini memberi fokus terhadap agenda pemerkasaan alumni.
Warga Kajai: Dari Pelbagai Disiplin Kepada Komuniti Akademia
Sejarah KRK juga tidak dapat dipisahkan daripada kepelbagaian latar belakang akademik penghuninya. Sepanjang sejarahnya, warga Kajai terdiri daripada mahasiswa daripada pelbagai fakulti dan bidang pengajian seperti Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan, Fakulti Ekonomi, Fakulti Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Undang-undang, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, juga daripada matrikulasi undang-undang.
Kepelbagaian tersebut membentuk satu komuniti yang mempertemukan mahasiswa dengan perspektif, kepakaran dan pengalaman yang berbeza. Kini, daripada sains sosial, pengajian Islam, sains dan teknologi, ekonomi dan pengurusan sehinggalah kepada pelbagai bidang lain, kehidupan di KRK menjadi ruang pertemuan antara disiplin yang memperkayakan pengalaman mahasiswa.
Dalam struktur penempatan semasa, KRK memberi tumpuan khusus dengan kemasukan pelajar tahun satu sesi akademik 2026/2027 kepada mahasiswa daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Pengajian Islam (FPI) dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP).
Melahirkan Pemimpin, Membina Jaringan Alumni
Antara warisan terbesar Kolej Rahim Kajai ialah para alumninya. Sepanjang lebih empat dekad kewujudannya, KRK telah menjadi tempat persinggahan dan pembentukan ribuan mahasiswa yang kemudiannya melangkah ke pelbagai bidang profesional, perkhidmatan awam, akademia, korporat dan masyarakat.
Rekod alumni dan bekas kepimpinan mahasiswa KRK menunjukkan bahawa warga Kajai terdahulu telah melangkah ke pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan awam, pendidikan, kesihatan, pengurusan, ekonomi dan bidang profesional yang lain.
Justeru, alumni bukan sekadar sebahagian daripada sejarah KRK, tetapi merupakan aset dan jaringan strategik yang boleh terus menyumbang kepada pembangunan generasi mahasiswa semasa.
Atas kesedaran tersebut, usaha memperkasakan hubungan alumni menjadi antara agenda yang semakin diberi perhatian dalam perkembangan KRK. Jaringan antara mahasiswa dan alumni diharapkan dapat membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, bimbingan, kerjaya, kepakaran, kolaborasi serta sumbangan kembali kepada kolej dan universiti. Pelbagai inisiatif sedang giat dilakukan oleh pelbagai pihak bagi memastikan kejayaan misi ini.
Kerohanian Sebagai Asas Pembentukan Insan
Seiring dengan identiti KRK yang pernah melalui fasa sebagai Kolej Kerohanian, aspek pembangunan spiritual terus menjadi sebahagian daripada kehidupan warga Kajai. Surau Al-Falah yang telah direnovasi dari masa ke masa kini juga aktif menjadi ruang aktiviti dakwah kepada warga Kajai.
Namun, kerohanian di KRK tidak dilihat hanya melalui program berbentuk keagamaan semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada usaha membentuk mahasiswa yang mempunyai nilai, integriti, empati, tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap peranan mereka sebagai insan berilmu.
Pelbagai inisiatif kerohanian dan pembangunan sahsiah yang pernah dilaksanakan di KRK, termasuk program penghayatan Ramadan dan pengisian keagamaan, menjadi sebahagian daripada usaha tersebut.
Kajai Hari Ini:
Kini, Kolej Rahim Kajai terus bergerak sebagai sebuah komuniti akademia yang berteraskan ilmu, kepimpinan, sahsiah, kerohanian, kebudayaan dan jaringan alumni.
Perkembangan KRK tidak lagi hanya diukur melalui pencapaian pertandingan atau bilangan program yang dianjurkan, tetapi melalui sejauh mana kolej mampu membentuk mahasiswa yang berdaya fikir, berkemahiran, berprinsip dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
Dalam era yang semakin mencabar, KRK berusaha memperluas peranannya dengan memperkasakan akademik dan pengucapan awam, komunikasi, kepimpinan mahasiswa, kerohanian, kebudayaan, inovasi, keusahawanan, kesukarelawanan, pembangunan bakat serta hubungan dan pemerkasaan alumni.
Usaha ini meneruskan tradisi yang telah dibina sejak 1983 bahawa sebuah kolej bukan sekadar tempat untuk tinggal, tetapi sebuah ruang untuk belajar, memimpin, berbakti dan membina legasi.
Lebih empat dekad selepas penubuhannya sebagai KAMSIS F, semangat tersebut terus hidup dalam nama Kolej Rahim Kajai.
Dalam meneruskan legasi dan aspirasi tersebut, krk dipimpin oleh YBhg. Prof. Dr. Hj. Razaleigh Muhamat @ Kawangit, Pengetua KRK bersama YBrs. Dr. Kamarul Afizi Kosman, Timbalan Pengetua KRK dan YBrs. Puan Norizan binti Ismail, Ketua Pentadbiran yang bertanggungjawab memastikan pengurusan serta pembangunan kolej berjalan dengan teratur dan berterusan. Struktur pengurusan dan pembangunan warga kolej turut diperkukuh oleh lapan orang Majlis Felo, 10 orang Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) yang menggerakkan tujuh (7) biro serta sembilan (9) kelab yang menjadi wadah penglibatan mahasiswa dalam pelbagai bidang. Keseluruhan struktur ini membentuk satu ekosistem kolej yang saling melengkapi dalam mendukung pembangunan akademik, kepimpinan, kerohanian, sahsiah, bakat dan kesejahteraan warga Kajai.
Daripada kediaman kepada komuniti,
daripada komuniti kepada akademia,
daripada mahasiswa kepada alumni,
Kajai terus melakar legasi dunia.
Untuk maklumat lanjut mengenai barisan pentadbiran, Majlis Felo, MEP, biro dan kelab yang terdapat di Kolej Rahim Kajai, sila layari halaman berkaitan melalui menu utama laman web ini.