
19 SEP 2026– Suasana di Kolej Rahim Kajai (KRK) bertukar meriah seawal jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang bersempena dengan sesi pendaftaran hari pertama Minggu Tekad Siswa (MTS) yang menyaksikan seramai 258 orang pelajar baharu rasmi mendaftar sebagai warga kolej, merangkumi 72 pelajar lelaki dan 186 pelajar wanita. Bagi memastikan kelancaran proses pergerakan, para waris dan pelajar baharu meletakkan kenderaan di Dewan Gemilang sebelum menaiki bas khas ke perkarangan KRK. Ketibaan mereka disambut mesra oleh barisan pentadbiran, Majlis Felo, serta 43 orang Pemudah Cara (PC) yang sentiasa bersiap sedia membantu melancarkan urusan pendaftaran, semakan bilik, hingga ke pengangkutan barangan.
Impak dan suasana sepanjang hari pendaftaran turut diwarnai dengan detik-detik emosi yang menyentuh hati. Walaupun para pelajar datang dari pelbagai pelosok negeri, sama ada jauh mahupun dekat kehangatan sokongan ahli keluarga jelas terasa. Sesi pelepasan anak-anak ke menara gading ini diiringi ukiran senyuman gembira dan linangan air mata bangga daripada ibu bapa yang melepaskan anak-anak mereka demi memburu cita-cita. Kehadiran barisan PC yang prihatin dan mesra menyuntik rasa selesa serta meyakinkan ibu bapa akan keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka sepanjang berada di KRK.
Pihak pengurusan Kolej Rahim Kajai, Majlis Felo, dan barisan Pemudah Cara mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat datang kepada seluruh 258 mahasiswa baharu. Semangat dan tekad yang dibawa pada hari pertama ini diharapkan menjadi pemangkin awal untuk mengukir kejayaan akademik serta sahsiah diri yang cemerlang sepanjang bergelar warga KRK.