DARI MEJA PRO NAIB CANSELOR KAMPUS KUALA LUMPUR, Inisiatif strategik selepas Covid-19 di Kampus Kuala Lumpur

DARI MEJA PRO NAIB CANSELOR KAMPUS KUALA LUMPUR
Inisiatif strategik selepas Covid-19 di Kampus Kuala Lumpur
Profesor Datuk Dr. A Rahman A Jamal

Pertamanya saya mengucapkan Selamat Menyambut 50 Tahun UKM kepada semua warga UKM. Keduanya, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan Kampus Kuala Lumpur yang terlibat dalam pengurusan masalah Covid-19 termasuk dari aspek penjagaan pesakit, ujian makmal Covid-19, dan pasukan Bilik Gerakan Covid-19, Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Pandemik Covid-19 telah menguji hampir kesemua sistem penyampaian penjagaan kesihatan serta kaedah pengajaran serta penyelidikan. Apa yang kita dapat saksikan adalah kerjasama mantap dari semua pihak dalam pengurusan pandemik ini.

Covid-19 akan terus bersama kita untuk beberapa lama lagi walaupun bilangan kes sudah menurun dan kita memasuki fasa PKPP. Dari sudut perkhidmatan kesihatan khususnya dan Kampus Kuala Lumpur amnya ada beberapa perkara yang harus kita sama-sama lihat dengan teliti dan merancang perubahan yang relevan dalam masa terdekat dan juga dalam perancangan jangka panjang.

  1. Memperluaskan tele-perubatan dan tele-konsultasi

Program tele-perubatan (telemedicine) harus dikembangkan bagi mengurangkan bilangan pesakit luar yang hadir di klinik-klinik susulan. Kehadiran fizikal harus dikurangkan kecuali bagi mereka yang tidak boleh dielakkan termasuk untuk membuat pemeriksaan fizikal dan menentukan diagnosis pesakit. Juga untuk mereka yang perlukan siasatan lanjut termasuk pengimejan dan juga ujian darah. Terdapat keperluan untuk membuat modifikasi ruang bilik-bilik telekonsultasi yang sesuai dan kalis bunyi serta ada privacy serta dilengkapi dengan perkhidmatan internet yang stabil dan berkapasiti tinggi. Satu kajian kemungkinan (feasibility study) harus dilakukan dan satu kajiselidik diadakan bagi melihat berapa peratus pesakit luar yang boleh sebenarnya disusul secara teleperubatan serta tidak perlu datang ke klinik pakar. Pihak pengurusan HCTM dan Fakulti Perubatan telah mula menggerakkan inisiatif ini. Penghantaran ubat-ubatan ke rumah telah pun dimulakan dan juga konsep farmasi pandu lalu telah diketengahkan. Semua inisiatif ini harus diperluaskan supaya terdapat pengurangan kehadiran secara fizikal di HCTM.

  1. Fokus kepada perubatan pencegahan

Semasa Covid-19, banyak perkhidmatan pesakit non-Covid terpaksa dikurangkan. Banyak kes pembedahan juga tertangguh bukan saja di HCTM malahan di kesemua hospital-hospital KKM. Ada juga pemerhatian bahawa mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit (diabetes, darah tinggi, penyakit paru-paru, penyakit jantung) lebih cenderung untuk mendapat penyakit Covid-19 yang lebih teruk atau dengan risiko komplikasi yang teruk. Sememangnya kita telah lama fokus kepada perubatan pencegahan namun ianya sering dianggap sebagai tanggungjawab rakan-rakan kita dalam bidang kesihatan awam. Sudah tiba masanya kita memantapkan usaha dalam perubatan pencegahan bersama-sama rakan-rakan dalam bidang kesihatan awam dan perubatan keluarga serta dari pelbagai disiplin sains kesihatan. Hospital kita sepatutnya dipenuhi oleh pesakit akut dan kecemasan sahaja dan tidak terlalu ramai pesakit dengan penyakit kronik yang boleh disusul di klinik-klinik kesihatan dan komuniti.

  1. Modifikasi ruang-ruang tertentu

Perawatan penyakit seperti Covid-19 memerlukan ruang isolasi dengan tekanan negatif supaya udara yang mengandungi kuman Covid-19 dikeluarkan terus dan tidak beredar (circulate) semula ke ruang-ruang lain. Kita memerlukan lebih banyak bilik-bilik pengasingan dengan tekanan negatif ini supaya dapat menampung keperluan pandemik akan datang. Yang lebih baik adalah mengubahsuai wad-wad tertentu yang boleh ditukar kepada wad Covid-19 secara modular dalam masa yang singkat. HCTM memang ada banyak bilik perseorangan (single rooms) namun kebanyakan bilik-bilik tersebut tidak ada tekanan negatif. Kita juga perlukan ruang lobi yang direkabentuk khas untuk saringan bagi pesakit luar dan pelawat sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam ruang hospital. Bagi mengelakkan kesesakan, penggunaan apps dan teknologi maklumat serta thermal scanner (untuk mengukur suhu pesakit dan pelawat) harus kita percepatkan. Begitu juga ruang-ruang rehat dan tidur yang sesuai dan selesa untuk kakitangan perubatan kita supaya mereka tidak perlu balik ke rumah semasa pandemik sekiranya ada risiko tinggi kepada ahli keluarga mereka.

  1. Ujian saringan Covid-19 secara baseline dan berkala

Semua kakitangan perubatan digalakkan membuat ujian Covid-19 untuk memastikan mereka selamat untuk datang bekerja. Mungkin ada yang tak bersetuju dengan cadangan ini namun Centre for Disease Control di USA meletakkan pekerja dalam sektor kesihatan dalam senarai prioriti untuk dibuat ujian Covid-19. Kajian menunjukkan sekitar 40%, atau lebih, mereka yang positif Covid-19 tidak mempunyai gejala dan kelihatan normal. Ujian rambang ke atas mereka yang sihat juga mendapati 1-4% yang positif Covid-19. Di sini juga ada kelebihan membuat ujian IgM dan IgG secara berkala. Mereka yang ada IgG positif dapat kita anggapkan telah terdedah kepada Covid-19 dan telah ada antibodi terhadap virus tersebut (ada perbezaan pendapat tentang kesan perlindungan namun majoriti berpendapat tidak ada risiko tinggi untuk jangkitan kedua). Ujian IgM/IgG ini hanya RM20-30 satu ujian dan ianya boleh dilakukan secara berkala terutama dikalangan mereka yang bekerja di wad-wad berisiko tinggi.

  1. Proses kerja dan ruang tempat kerja

Selama PKP ini ramai kakitangan telah terpaksa kerja dari rumah (work from home). Namun walaupun ada tugasan yang diberi oleh penyelia masing-masing dan pemantauan yang rapi, produktiviti kerja sedikit sebanyak telah terjejas. Ada keperluan di premis pejabat yang tidak boleh direplikasikan di rumah terutamanya bagi kumpulan profesional dan pelaksana serta kakitangan sokongan. Kini kita berpeluang membuat analisa ke atas produktiviti kerja sepanjang PKP. Tujuannya adalah untuk memperbaikki proses kerja supaya carakerja dari rumah dapat dimantapkan dan hasil kerja sama seperti bekerja di pejabat. Ini juga memberikan kita peluang untuk terus melakukan penggiliran kerja dengan produktiviti yang optimum. Ruang tempat kerja juga perlu dilihat dan disusunatur semula supaya ada elemen penjarakan sosial dan pengurangan risiko Covid-19. Pengukuran suhu dan penggunaan pelitup muka (mask) dan hand sanitiser harus diwajibkan.

Inilah masa yang tepat untuk kita sama-sama membuat penilaian dan mengatur strategi baru pasca Covid-19. Kita sedar inilah norma baru yang harus kita ikuti dan apapun kita harus teruskan hidup bersama Covid-19 buat seketika dan membuat persediaan mantap untuk menghadapi pandemik yang akan datang. ‘Those who fail to plan, plan to fail’. Kita harus menang dan berjaya mengatasi Covid-19.

9 Jun 2020