Forum Awam Ginekologi Kanak-Kanak dan Remaja

Oleh: Noorlaily Binti Abdul Rahim
Foto:

CHERAS, 20 Sept 2019 – Forum Awam Ginekologi Kanak-Kanak dan Remaja anjuran Jabatan Obstretrik dan Ginekologi, HCTM telah diadakan di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dengan tujuan untuk memperkenalkan Paediatric Adolescent Gynaecogoly (PAG) sebagai salah satu subkepakaran yang terdapat di jabatan tersebut serta memberikan maklumat mengenai simdrom penyakit kongenital Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH).

Lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada orang awam dan kakitangan telah menghadiri forum ini. Antara pakar-pakar yang memberikan ceramah ialah Prof. Madya Dr. Ani Amelia Dato Zainuddin, Ketua Unit Ginekologi Kanak-kanak & Remaja Jabatan O&G HCTM, Nur Syazwani Abdul Rahim, Pengasas dan Ketua MRKH Malaysia, Puan Siti Muslimah Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Puan Yuzila Yusof, Ketua Pegawai Operasi Orphan Care Foundation.

Unit Paediatric Adolescent Gynaecology (PAG) yang beroperasi sejak 2008 merupakan unit pertama di Malaysia yang ditubuhkan untuk mengendalikan masalah Ginekologi Kanak-Kanak dan Remaja yang mengalami sindrom penyakit kongenital Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH). Unit ini berjaya mencapai satu tahap yang membanggakan apabila telah diiktirafkan oleh International Federation of Infant & Juvenile Gynaecology (FIGIJ) sebagai Pusat Latihan subkepakaran Ginekologi Kanak-kanak dan Remaja. Pengiktirafan tersebut menjadikan unit PAG sebagai pusat yang akan menerima rujukan daripada seluruh Malaysia dan melatih pakar serta melaksanakan penyelidikan dan penerbitan jurnal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Majlis telah dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, UKM. Turut hadir dalam majlis Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani, Ketua Jabatan O&G HCTM, Prof. Madya Dr. Ani Amelia Dato’ Zainuddin, Ketua Unit Ginekologi Kanak-Kanak dan Remaja Jabatan O&G HCTM, dan Prof. Sonia R Grover, Director Department Paediatric And Adolescent Gynaecology, Royal Children’s Hospital, Melbourne.