HARI SUKAN TASKA PERMATA HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ KAMPUS KUALA LUMPUR UKM 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Noorashikin Yusof

CHERAS, 12 Oktober 2019 – Taska Permata HCTM KKL UKM telah menganjurkan Hari Sukan Taska Permata HCTM di Lobi Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM. Program ini merupakan aktiviti tahunan taska yang dianjurkan oleh Bahagian Governan dan Pentadbiran Kampus Kuala Lumpur dan Taska Permata HCTM untuk meningkatkan kerjasama dan komunikasi dua hala ibu bapa, kanak-kanak dan pihak taska.

Majlis Hari Sukan Taska telah dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor KKL UKM. Turut hadir dalam majlis Encik Muhamad Khairi Khalis, wakil Ketua Bahagian Governan dan Pentadbiran Kampus Kuala Lumpur, Puan Emilia Nur Farah ‘Ain Azmi, Penyelia Taska Permata HCTM, dan Puan Normawati Mohd Pengerusi Jawatankuasa Hari Sukan Taska Permata HCTM Kampus Kuala Lumpur.

Prof. Datuk Dr. A Rahman berkata penganjuran Program Hari Sukan secara langsung, memberi galakan kepada anak-anak untuk memupuk perasaan minat terhadap sukan. Pemupukan ini perlu dimulakan sejak kecil agar semangat bersukan dapat diteruskan sehingga dewasa kelak. Memupuk semangat bersukan dalam generasi ‘gajet’ pada masa kini adalah satu cabaran kerana fenomena zaman teknologi telah menjadikan anak-anak kecil lebih berminat terhadap ‘gajet’ daripada bermain bersama rakan-rakan.

Penglibatan dan sokongan ibu bapa yang berterusan dapat meningkatkan kualiti program taska dengan menyumbang tenaga, idea, berkongsi kebolehan masing-masing dan seterusnya dapat memberikan kesan positif kepada perkembangan kanak-kanak. Perkara ini sejajar dengan petikan Menteri Belia dan Sukan, “Mentransformasikan Malaysia sebagai negara bersukan, rakyat memerlukan lebih tempat terbuka bagi menggalakkan orang ramai bersukan dan beriadah”.

Pautan berkaitan: Galeri Foto Hari Sukan Taska