HCTM Sebagai Penanda Aras Daehan Rehabilitation Services

Oleh: Siti Maswani Mohammed

CHERAS, 25 Jun 2019 – Ketua Pegawai Eksekutif Daehan Rehabilitation Services Sdn. Bhd., Dr. Kim Dong Soo telah mengadakan lawatan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada pagi ini. Lawatan penanda aras ini turut disertai oleh Pengurus Perhubungan, Encik Joachim Fernandez dan Pengurus Jualan & Pemasaran, Puan Melinda Yap. Daehan Rehabilitation Services merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemulihan perubatan dari Korea Selatan dan kini bakal membuka cawangan hospital di Putrajaya.

Lawatan yang memakan masa setengah hari mulai jam 10.00 pagi ini dimulakan dengan sesi taklimat berkenaan Projek Teknopolis Kesihatan oleh Prof. Dr. Sabarul Afian Mokhtar, Timbalan Pengarah (Jaringan, Komunikasi Korporat & Teknopolis Kesihatan), Kampus Kuala Lumpur. Lawatan diteruskan dengan objektif utama iaitu membuat lawatan di sekitar Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan (JPPP). Puan Zunaidah Abu Samah mewakili Ketua Jabatan mengiringi lawatan ini ke semua Unit di JPPP sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengahari di Azalea Café.

Sesi lawatan ini turut disertai oleh Prof. Dr. Amaramalar Selvi Naicker dan Prof. Madya Ohnmar Htwe @ Rashidah Hj. Ismail, Pakar dari Unit Perubatan Rehabilitasi Jabatan Ortopedik, Dr. Fatimah Mohd Amin, Strategist-In-Residence Projek Teknopolis Kesihatan serta Puan Aliza Mansor Ketua di Pentadbiran Pusat Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan.