Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 / 1440h Peringkat Kampus Kuala Lumpur UKM

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Hafizah Mohamad Isa

CHERAS, 27 Jun 2019 – Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (KKL UKM) mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 / 1440H bertempat di Lobi Bangunan Praklinikal, Kampus Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur jam 12.00 tengahari. Majlis ini turut dihadiri Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi UKM sebagai tetamu terhormat dan disempurnakan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur.

Turut bersama pada majlis tersebut Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), YM Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof. Madya Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom, Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Madya Dr. Jamia Azdina Jamal, Dekan Fakulti Farmasi, Dr. Nor Azian Abdul Murad, Pengarah UMBI, Dr. Shazli Ezzat Hji. Ghazali, Pengetua KTSN, ketua-ketua jabatan dan beberapa pegawai kanan KKL UKM.

Sambutan ini merupakan acara tahunan yang disambut bagi meraikan seluruh warga KKL UKM yang terdiri dari ahli pengurusan UKM dan KKL UKM, kakitangan serta mantan – mantan yang pernah berkhidmat. Majlis juga turut menjemput kakitangan UKMSC, UNIKEB, Rumah Ronald McDonald (RMH) serta jiran-jiran berhampiran untuk bersama-sama meraikan dan dianggarkan seramai 3,000 orang telah hadir.

Majlis bermula dengan ucapan ringkas oleh Pro Naib Canselor KKL UKM. Seterusnya, dimeriahkan dengan persembahan kumpulan nyanyian dari kakitangan KKL UKM, Kumpulan Buskers HCTM dan anak-anak Taska Permata HCTM. Penyerahan sumbangan berbentuk duit raya kepada anak-anak taska juga turut disampaikan oleh Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Prof. Dr. Sabarul Afian Mokhtar, Timbalan Pengarah (Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan). Juadah dan hidangan yang disediakan tidak kurang hebatnya seperti kambing golek, ayam mandy, rendang, nasi impit, lemang, mee goreng, murtabak, laksa johor, cendol, apam balik, satay, aneka kuih muih, minuman sejuk dan panas, buah-buahan dan sebagainya.