Majlis Sembang Teh Tarik (Town Hall) bersama Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) : Isu kerjaya, kemudahan dan kebajikan pekerja menjadi fokus utama

Majlis Town Hall bersama Pro Naib Canselor (KKL) dengan warga kerja Kampus Kuala Lumpur telah diadakan pada 14hb April 2018. Ini merupakan sesi Town Hall ketiga diadakan. Dua sesi sebelum ni melibatkan para jururawat pelbagai gred. Kali ini acara diadakan secara lebih santai di ruang galeri Blok Pendidikan Tuanku Jaafar. Seramai 340 orang dari pelbagai peringkat kakitangan telah hadir termasuk pensyarah, jururawat, pegawai tadbir, anggota keselamatan, pemandu serta kakitangan pelaksana yang lain. Teh tarik panas serta dua jenis kuih (satu manis dan satu pedas) dihidangkan sebagai jamuan ringan untuk para hadirin. Jelas hidangan tersebut begitu popular.

Tiga orang pengurusan tertinggi Kampus Kuala Lumpur diketuai oleh Profesor Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Profesor Dr. Zaleha Abdullah Mahdy, Dekan Fakulti Perubatan dan Profesor Madya Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz turut bersama di atas pentas untuk menjawab pertanyaan daripada mereka yang hadir.

Selain itu, beberapa orang Timbalan Pengarah Kampus Kuala Lumpur, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Timbalan Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz serta juga beberapa orang ketua jabatan turut hadir. Sesi soal jawab telah diadakan secara spontan dan semua soalan dijawab termasuk soalan yang diemelkan kepada pejabat Bahagian Komunikasi Korporat sebelum sesi Town Hall.

Pro Naib Canselor KKL telah memberikan ucapan ringkas tentang struktur tadbir urus baru yang diluluskan oleh pengurusan tertinggi UKM serta visi utama yang ingin dicapai. Jelas fokus utama adalah untuk mempertingkatkan kualiti dan keefisyenan penyampaian kualiti perkhidmatan sama ada di hospital, fakulti, institut penyelidikan dan kolej kediaman. Selaras dengan slogan baharu Kampus Kuala Lumpur iaitu BETTER, FASTER & FRIENDLIER.

Kebanyakan soalan bertumpu kepada isu-isu sumber manusia termasuk kemajuan kerjaya, kenaikan pangkat, elaun kerja lebih masa (EKLM) dan elaun atas panggilan(on-call). Dr. Hajjah Ina Md Yasin, Timbalan Pengarah Eksekutif Pentadbiran Kampus KL telah memberikan jawapan yang begitu jelas kepada semua soalan berhubung dengan kerjaya. Puan Norini Muhamad, Timbalan Pengarah Eksekutif Kewangan Kampus KL juga membantu memberi jawapan tentang isu-isu kewangan.

Kakitangan telah diberi jaminan semua EKLM akan diberikan walaupun dalam keadaan kegawatan. Hadirin juga dimaklumkan bahawa aktiviti penjanaan akan dipertingkatkan bagi menambah sumber dalaman supaya dapat menampung kekurang bajet di hospital dan lain-lain pusat tanggungjawab.

Sesi Sembang Teh Tarik mendapat tepukan gemuruh apabila Pro Naib Canselor mengumumkan berita mengenai kelulusan secara prinsip akan adanya stesen MRT di Kampus Kuala Lumpur. Projek ini akan dijalankan mulai 2019 dan dijangka siap pada tahun 2026. Pro Naib Canselor juga memaklumkan tentang kelulusan projek Health Technopolis oleh Majlis Ekonomi Negara. Inisiatif yang diterajui sendiri oleh YBhg Naib Canselor UKM nyata telah mendapat sokong padu daripada ahli majlis tersebut terutamanya daripada pengerusinya sendiri iaitu YAB Perdana Menteri Malaysia. UKM menjuarai lagi!

Jelas sesi Sembang Teh Tarik sangat berjaya dan membawa pengurusan KKL dengan lebih dekat kepada kakitangan khususnya kakitangan pelaksana.

Kampus Kuala Lumpur kampus idaman
Perubatan dan Kesihatan bidang tujahan
Kebajikan kakitangan kita diutamakan
Kepuasan pelanggan tanda kejayaan