Pendaftaran pelajar baharu Minggu Mesra Mahasiswa (Kampus KL) berjalan lancar

Ucapan selamat datang dan aluan pengurusan UKM kepada pelajar baharu di Praklinikal, PPUKM.

CHERAS, 2 September 2018 – Seramai 661 orang pelajar baharu telah mendaftar masuk ke Kampus Kuala Lumpur UKM semalam di dua lokasi yang berbeza iaitu pendaftaran Fakulti Perubatan di Kampus Cheras manakala pendaftaran Fakulti Farmasi, Fakulti Pergigian dan Fakulti Sains Kesihatan di Kampus Jalan Raja Muda. Wakil pengurusan UK yang turut turun padang untuk meninjau aktiviti perndaftaran ialah Prof. Dr. Hj Mohd Ekhwan Hj Toriman, Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah, Timbalan Naib Canselor HEJIM, Prof. Dr. Ishak Yussof, Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan), dan Encik Abdul Razak Hussin, Pengarah Eksekutif Pentadbiran.

Di Kampus Cheras, acara pembukaan pendaftaran dimulakan dengan ucapan aluan dan selamat datang daripada Prof. Dato Dr. Imran Ho Abdullah dan seterusnya ucapan tahniah daripada Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy. Prof. Dato’ Imran Ho berkata proses pendaftaran kemasukan pelajar baharu tidak mengambil masa yang lama dan dijangkakan selesai seawal 5 minit.

Adik Wan Iziani Nabila membuat pendaftaran masuk ke Faklulti Perubatan UKM.

Tinjauan mendapati proses pendaftaran yang diadakan di Bilik Peperiksaan, Tingkat 1 Bangunan Praklinikal berjalan lancar. Pelajar pertama yang mendaftar, adik Wan Izziani Nabila berasal dari Terengganu, berkata beliau dan keluarga yang sampai seawal 8.00 pagi memberitahu sangat gembira dan bersyukur apabila diterima masuk untuk melanjutkan pengajian di Fakulti Perubatan UKM. Beliau berharap dapat mengembangkan potensi diri di sini dan menamatkan pengajian dengan berjaya. Pendaftaran dibuka sehingga jam 4.00 petang, dan seramai 228 orang pelajar telah datang untuk mendaftar.

Selain berfokuskan aktiviti pendaftaran, Fakulti Perubatan mengambil peluang dengan menawarkan saringan kesihatan percuma kepada ibubapa yang hadir. Saringan kesihatan anjuran kerjasama Jabatan Fisiologi dan Jabatan Biokimia menjadi tarikan utama kerana ia mengisi masa lapang ibubapa ketika menunggu anak-anak membuat pendaftaran. Selain itu, sudut mengambil gambar serta pakaian lab coat disediakan untuk pelajar baharu yang ingin mengambil gambar kenangan.

Pendaftaran pelajar baharu di Kampus Jalan Raja Muda.

Manakala situasi di Kampus Jalan Raja Muda, pendaftaran pelajar baharu bermula pada jam 8.00 pagi di Dewan TIBE, Aras 2. Tiga kaunter telah dibuka untuk pelajar mendaftar mengikut fakulti masing-masing iaitu Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Farmasi dan Fakulti Pergigian. Setelah selesai mendaftar, para pelajar bersama ibubapa akan terus ke sesi taklimat yang telah diaturkan. Konsep pendaftaran & taklimat kepada para pelajar dan ibubapa amat berbeza pada kali ini, dimana Fakulti Sains Kesihatan menyediakan gerai pameran yang disediakan oleh pihak fakulti. Taklimat pengajian dan peluang kerjaya graduan Fakulti Pergigian diadakan di ruang pejabat klinik pergigian manakala Fakulti Farmasi mengadakan sesi taklimat pelajar bersama pensyarah di makmal dalam bentuk berkumpulan. Jumlah pelajar baharu yang mendaftar di Fakulti Sains Kesihatan seramai 339 orang, Fakulti Farmasi seramai 44 orang, dan Fakulti Pergigian seramai 50 orang.