Perasmian 8th International Public Health Conference 2019

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Noorashikin Yusof

BANGI, 6 Ogos 2019 – Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan UKM telah menganjurkan 8th International Public Health Conference 2019 dengan bertemakan Alignment of Policies and Priorities towards Healthy Living. Persidangan kali kelapan ini telah menarik seramai 240 orang peserta yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan awam, pensyarah universiti, pelajar-pelajar doktor falsafah dan sarjana.

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia. Turut hadir dalam majlis Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hanita Othman, wakil Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Dr. Dra Ida Yustina, Dekan Fakulti Kesihatan Awam Universiti Sumatera Utara, Indonesia dan Prof. Dr. Mohd Rizal Haji Abdul Manaf, Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat yang juga Pengerusi Jawatankuasa 8th International Public Health Conference.

Berucap dalam majlis, Dato’ Dr. Chong Chee Kheong berkata, cabaran dan masalah kesihatan pada masa kini berpunca daripada pengamalan gaya hidup yang tidak sihat, di samping peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) juga menyumbang kepada pencemaran persekitaran yang memerlukan kumpulan pakar bidang kesihatan awam membuat strategi komprehensif untuk menangani masalah ini. Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia di peringkat persekutuan dan negeri sentiasa berusaha dalam memberikan perkhidmatan dan kesedaran kesihatan kepada komuniti secara berterusan. Ini termasuk menerapkan pendekatan baharu dan pelaksanaan polisi-polisi demi kepentingan awam.

Bersesuaian dengan pemilihan tema pada kali ini, penyelarasan polisi dan keutamaan dalam mencapai kehidupan yang sihat dan sejahtera akan dibincangkan di samping memberi peluang dan ruang kepada semua kakitangan bidang kesihatan terutamanya bidang kesihatan awam iaitu kakitangan profesional dan sokongan, daripada pelbagai latar belakang dalam dan luar negara untuk berkongsi idea dan pengalaman selari untuk mencapai sebuah kehidupan yang sihat dan sejahtera.

Matlamat utama penganjuran persidangan adalah sebagai medan untuk pakar-pakar kesihatan awam dan profesion berkaitan membincangkan pelbagai isu dan cabaran semasa berhubung dengan kesihatan awam. Ribuan polisi berkaitan kesihatan telah diperkenalkan sama ada di peringkat global iaitu World Health Organization (WHO) atau pun di peringkat kebangsaan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Polisi-polisi ini diwujudkan untuk memelihara dan memastikan status kesihatan dan keselamatan setiap individu berada pada tahap yang baik. Walau bagaimanapun, dalam merealisasikan matlamat setiap polisi, keutamaan dan kepentingan asas setiap individu harus diberi perhatian sewajarnya.