Perhimpunan Kakitangan Kampus Kuala Lumpur Bersama Naib Canselor UKM Dengan Semangat Baharu

Oleh Hafizah Mohamad Isa
Foto Noorashikin Yusof

CHERAS, 10 Januari 2019 – Perhimpunan Kakitangan Kampus Kuala Lumpur Bil. 1/2019 yang dijalankan buat pertama kali pada tahun ini telah dihadiri hampir 400 orang kakitangan warga Kampus KL UKM. Kehadiran luar biasa warga KKL UKM ini adalah untuk melihat dan mendengar ucapan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baharu iaitu YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd Shukor.

Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dalam ucapan beliau berkata seluruh warga KKL memberikan sepenuh komitmen dan menyokong penuh Misi dan Visi UKM melalui beberapa perancangan serta pelaksanaan akan dijalankan sepanjang tahun 2019 meliputi aspek sumber manusia, penjanaan, prasarana, penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan sebagainya. Beliau mengambil contoh klinik bedah mulut yang baharu akan beroperasi untuk awam dan kakitangan. Selain itu, masalah parkir bakal berakhir apabila bangunan parkir bertingkat yang menyediakan 700 petak akan siap pada tahun ini. Seiring dengan perancangan Projek Teknopolis Kesihatan UKM, implementasi Electronic Medical Records (EMR) diperlukan.

“Kampus Kuala Lumpur UKM ke arah kampus pintar ‘paperless’, apabila Electronic Medical Records (EMR) dilaksanakan menjelang tahun 2020. Ini dapat dilihat dengan potensi penglibatan industri luar yang berminat seperti MDEC dan MIMOS terhadap kepentingan dan keperluan Big Data.”

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd Shukor dalam ucapan beliau menekankan keharmonian dan memupuk kesefahaman satu UKM adalah aspek yang penting. Beliau melihat perlunya aspek ini dalam warga UKM kerana kedudukan beberapa PTJ yang terletak berasingan jauh dari kampus induk. Lawatan tapak ke semua kampus satelit dan PTJ-PTJ UKM akan diadakan untuk memahami dan mendengar masalah-masalah daripada segenap lapisan warga UKM termasuk kakitangan sokongan bagi mendapatkan input yang boleh membantu dalam melakukan perubahan dan mencari penyelesaian terbaik.

Aspek penyelidikan yang merupakan fungsi utama universiti juga turut ditekankan dalam ucapan beliau. Kakitangan akademik diminta bersama-sama meningkatkan aktiviti penyelidikan, membincangkan strategi dan kaedah terbaik penyelidikan rentas fakulti. Hasrat beliau adalah untuk melihat UKM menjadi sebuah universiti yang hebat yang boleh mengatasi Universiti Malaya (UM).

Perhimpunan diakhiri dengan penyampaian sijil bengkel kepada pasukan jururawat-jururawat Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Kesempatan ini, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi dibawa melawat sekitar Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan mengadakan sesi perjumpaan bersama pengurusan Kampus Kuala Lumpur UKM.

Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd Shukor merupakan Naib Canselor UKM yang ke -11 menggantikan Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali yang telah tamat tempoh pelantikannya pada 31 Disember 2018 lalu.

Antara pengurusan kanan KKL yang hadir termasuklah Dekan Fakulti Perubatan, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Dekan Fakulti Pergigian, wakil Dekan Fakulti Farmasi, Pengarah HCTM, Pengarah UMBI, Pengetua KTSN, KTDI serta Timbalan-timbalan Dekan, Timbalan-timbalan Pengarah dan Ketua-ketua Jabatan serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM.