Perhimpunan Kakitangan Kampus Kuala Lumpur Bil.3/2018

CHERAS, 9 Julai 2018 –Perhimpunan Kakitangan Kampus Kuala Lumpur telah dijalankan di Auditorium PPUKM. Seramai 451 orang kakitangan daripada Kampus KL Cheras, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dan Jalan Temerloh telah hadir dalam perhimpunan ini. Perhimpunan yang diadakan pada hari ini merupakan yang ketiga untuk tahun ini.

Hadir sama termasuk Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Madya Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom, Dekan Fakulti Pergigian, timbalan-timbalan dekan dan pengarah serta beberapa orang pegawai kanan Kampus KKL.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu NegaraKu dan Varsiti Kita, tayangan video aktiviti warga UKM Kampus Kuala Lumpur, dan ucapan Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal. Menurut beliau, aktiviti pengumpulan maklumat sangat kurang dijalankan di kalangan warga Kampus KL. Beliau menegaskan pengumpulan data secara terperinci adalah penting dalam membuat sesuatu keputusan yang tepat.

Sebagai contoh isu masa menunggu di klinik pakar yang kurang memberansangkan di mana pesakit terpaksa menunggu sehingga 6 jam dan ada kalanya pesakit yang menunggu lama untuk berjumpa pakar tetapi hanya berjumpa dengan Pegawai Perubatan bukan pakar. Hal ini dapat diatasi dengan mencari cara penyelesaian terbaik berdasarkan maklumat terperinci yang dikumpulkan. Penambahbaikan perlu dilakukan segera agar slogan “Better, Faster, Friendlier” sesuai mencerminkan perkhidmatan di HCTM dan juga di PTJ-PTJ lain. Selain itu, turut dikongsikan bersama ialah kejayaan UKM dalam menduduki di tangga 184 terbaik dunia dalam QS Ranking.

Acara disudahi dengan penyampaian sumbangan daripada Unit Zakat UKM dan Tanjung Boulevard Sdn Bhd. Sumbangan Unit Zakat UKM yang diwakili oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A.Karim adalah bantuan persekolahan anak kakitangan seramai 229 orang berjumlah RM42,825.00, bantuan kelas tambahan anak kakitangan seramai 20 orang berjumlah RM6,000.00, sumbangan 10 unit Pangsapuri Cemara, Bandar Sri Permaisuri berjumlah RM144,000.00, sumbangan bagi penggantian karpet dan naik taraf mimbar Surau Ibnu Sina HCTM berjumlah RM70,000.00. Manakala cek sumbangan sebanyak RM60,000 daripada Tanjung Boulevard Sdn Bhd adalah untuk Tabung Pesakit HCTM. Cek sumbangan telah disampaikan oleh Encik Afiq Feysal Nazlan kepada Naib Canselor Kampus KL. Tanjung Boulevard Sdn Bhd merupakan syarikat yang membekalkan gas LPG kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Sumbangan ini merupakan sumbangan yang kedua daripada syarikat berkenaan. Perhimpunan diakhiri dengan jamuan dan tamat pada pukul 9.00 pagi.