Reumatologi: Ke Arah Penjagaan Pesakit Yang Sempurna

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Hang Jebat Mukhtar Affandi

CHERAS, 21 Oktober 2019 – Syarahan Perdana Profesor yang bertajuk ‘Reumatologi: Ke Arah Penjagaan Pesakit Yang Sempurna’ telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Shahrir Bin Mohamed Said, Ketua Unit Reumatologi, Jabatan Perubatan di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar dengan kehadiran hampir 200 orang tetamu.

Majlis dimulakan dengan biodata pengenalan Prof. Dr. Mohd Shahrir yang disampaikan oleh wakil Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki bin Mustafa, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik & Antarabangsa. Kerjaya Prof. Dr. Mohd Shahril bermula sebagai pegawai perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Pusat Kesihatan Malim Nawar dan Hospital Kuala Kangsar sebelum beliau melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2000. Pada tahun 2003, beliau menjadi pensyarah pelatih di Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan UKM. Beliau merupakan pakar perubatan muda dalam perubatan dalaman di samping mengikuti latihan subkepakaran reumatologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz sehingga tahun 2008. Setelah beliau dinaikkan pangkat ke Profesor Madya, beliau dipinjamkan ke Universiti Sains Islam Malaysia selama dua tahun untuk membantu memantapkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di sana. Pada tahun 2014, beliau dinaikkan ke jawatan Profesor dalam bidang Reumatologi dan Perubatan Dalaman dan banyak membuat kajian mengenai penyakit reumatologi.

Syarahan yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Shahrir berkaitan dengan penjagaan pesakit secara menyeluruh dengan mengkaitkan pelbagai penyakit reumatologi dengan melibatkan kajian-kajian berunsurkan genetik, sel, rawatan, dan kualiti kehidupan. Kajian ini dijalankan lebih daripada 20 tahun, merangkumi jaringan penyelidikan dalaman dan luaran. Antara kandungan syarahan yang disampaikan ialah pengenalan penyakit autoimun, kajian Atherosklerosis Reumatoidatritis (RA), Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), kajian genetik MyEiRA, kajian imunologi RA dan SLE, ciri-ciri populasi RA, rawatan dan komplikasi penyakit, dan kualiti kehidupan pesakit. Kajian mengenai rawatan mengambil kira penggunaan ubat-ubatan terkini dan biasa digunakan. Unit Reumatologi Jabatan Perubatan HCTM mengamalkan pendekatan merawat pesakit dengan mengintegrasikan penyelidikan genetik, imunologi, klinikal, epidemiologi, kesan rawatan, komplikasi penyakit dan komplikasi rawatan.

Syarahan diakhiri dengan sesi penyerahan buku syarahan kepada , Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki bin Mustafa, wakil Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor UKM, dan Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Fakulti Perubatan UKM.