Sambutan World Hearing Day 2020

Oleh : Noorlaily Binti Abdul Rahim
Foto: Abdul Rahman Putra Mohd Yunus

CHERAS, 3 Mac  – Majlis Perasmian Sambutan World Hearing Day 2020 anjuran Jabatan Otorinolaringgologi HCTM UKM telah diadakan pada hari ini di SUKMARIA, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dengan bertemakan Hearing for life: don’t let hearing loss limit you. Sambutan ini diadakan pada 3 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah pekak dan kehilangan pendengaran, serta menggalakkan penjagaan telinga di seluruh dunia.

Sempena sambutan ini, Jabatan Otorinolaringgologi HCTM telah mengaturkan pelbagai aktiviti antaranya ceramah berkaitan dengan masalah telinga dan pendengaran yang disampaikan oleh pakar-pakar HCTM, saringan dan pemeriksaan telinga percuma, dan pameran-pameran untuk matlumat orang awam. Program saringan pendengaran percuma merupakan antara tarikan sambutan pada tahun ini dan seramai 80 orang awam mengambil kesempatan untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM. Beliau ketika berucap dalam majlis berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjangkakan lebih 900 juta penduduk dunia menghidapi masalah pendengaran menjelang 2050. Dalam kata lain, dianggarkan satu dalam 10 orang akan menghadapi masalah pendengaran. Di Malaysia, isu berkaitan masalah pendengaran bukan sahaja dialami oleh 3.3 juta warga emas malah kanak-kanak juga mula mengalami masalah ini. Oleh itu, proses pengesanan dan intervensi masalah pendengaran pada peringkat awal usia sangat penting untuk mengurangkan jurang dari segi kemahiran bahasa dalam kalangan kanak-kanak terbabit berbanding kanak-kanak pendengaran normal yang seusia dengannya.

Turut hadir dalam majlis, Prof. Dr. Salina Husain, Ketua Jabatan Otorinolaringologi, Prof. Dr. Goh Bee See, Pengerusi Program Sambutan World Hearing Day 2020, wakil Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, Ketua-ketua Jabatan dan tetamu jemputan.