SYARAHAN KEPIMPINAN BIL.3/2018 : “LEADING CHANGE AT A TEACHING HOSPITAL: THE UMMC EXPERIENCE”

CHERAS, 15 Ogos 2018 – Dianggarkan seramai 200 kakitangan warga Kampus Kuala Lumpur UKM telah menghadiri Syarahan Kepimpinan yang ke tiga anjuran Pejabat Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur. Topik syarahan “Leading Change At A Teaching Hospital: The UMMC Experience” menyentuh dari aspek persediaan dan strategi pengurusan serta pentadbiran sebuah hospital. Syarahan telah disampaikan oleh Tunku Prof. Dr. Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Pengarah Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya. Beliau juga merupakan alumni UKM pada tahun 1998.

Sesi syarahan dimulakan dengan pengenalan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan definasi hospital pengajar yang mempunyai tiga fungsi utama iaitu pendidikan kesihatan dan latihan, memberikan perkhidmatan kesihatan, dan penyelidikan. Syarahan beliau banyak memberi input sebagai pengarah hospital dan perubahan yang telah dilakukan di PPUM. Antara perkongsian pengalaman beliau sewaktu baharu menjawat sebagai pengarah di PPUM ialah menghadiri kursus pentadbiran dan mendalami ilmu kepimpinan, mengenalpasti isu-isu yang timbul, mendapatkan sokongan pengurusan dan kakitangan, mengubah mindset kakitangan dan membuat perubahan baharu.

Menurut beliau persediaan seperti mendalami ilmu pentadbiran dan kepimpinan banyak membantu dalam mengendalikan pentadbiran dengan lebih baik. Selain itu sokongan ahli pengurusan dan kakitangan lebih senior amat penting dalam pentadbiran hospital. Sesuatu perancangan dan strategi akan menjadi lebih mudah dengan sokongan mereka dan sesuatu isu boleh diselesaikan dengan kerjasama semua pihak.

Beliau turut menekankan kakitangan adalah salah satu investment bernilai dalam institusi kesihatan. Dorongan dan motivasi perlu diberikan kepada mereka agar hospital dapat berfungsi ditahap yang terbaik. Melalui komunikasi berkesan, sistem ganjaran dan penghargaan, sokongan dan perubahan kepada kakitangan dapat dilakukan.

Pengajuran Syarahan Kepimpinan ini merupakan inisiatif Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM dalam memberikan pengetahuan dan maklumat kepada warga Kampus Kuala Lumpur UKM khususnya kakitangan hospital dalam meningkatkan mutu perkhidmatan hospital kepada pesakit dan masyarakat. Hadir bersama dalam syarahan ini ialah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jaman, Pro Naib Canselor Kampus KL, dekan-dekan fakulti, pengarah HCTM, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan warga Kampus KL. Sesi soal jawab diadakan sebelum syarahan ditamatkan pada jam 4.45 petang.