Syarahan Kepimpinan “Improving Delivery Of Healthcare: Better, Faster and Friendlier (Bff) Oleh Dato’ Omar Abd Hamid

CHERAS, 25 April 2018 – Syarahan Kepimpinan Kampus Kuala Lumpur UKM siri kedua telah disampaikan oleh Dato’ Omar Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Avisena Specialist Hospital, Shah Alam diadakan di Auditorium Pusat Perubatan UKM.

Syarahan bertemakan “Improving Delivery Of Healthcare: Better, Faster and Friendlier (BFF)” telah berjaya dikupas dan dikongsi bersama. Ceramah tersebut telah menyentuh berkenaan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan hospital. Dato’ Dr. Omar, merupakan Mantan Timbalan Pengarah (Ikhtisas), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Sementara itu, Hospital Pakar Avisena, Shah Alam atau dahulunya dikenali sebagai Hospital Pakar Darul Ehsan (DEMC).

Turut hadir dimajlis berkenaan adalah Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan Prof. Madya Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz serta beberapa pegawai kanan dan juga seramai 283 orang kakitangan dari pelbagai jabatan, displin dan gred telah mengikuti program tersebut.

Menurut beliau, Hospital Avisena menitikberatkan mutu perkhidmatannya kepada pelanggan. Ini dapat dicapai melalui perancangan pengurusan terhadap latihan, audit, dan pendekatan inovasi kepada setiap kakitangannya. Selain itu, beliau juga berkata, kemudahan prasarana juga memainkan peranan penting dalam memberikan kemudahan kepada pesakit dan pelanggan. Budaya korporat yang diterapkan dalam setiap sistem pengurusan di hospital, haruslah menepati kehendak pelanggan dan semasa.

Tambahannya lagi, kebajikan dan kemudahan kakitangan di hospital juga tidak boleh diambil ringan kerana kakitangan merupakan aset yang paling berharga dan penting dalam setiap institusi. Pengikhtirafan dan penghargaan perlu diberikan supaya mereka rasa sentiasa dihargai.

Syarahan Kepimpinan siri pertama telah disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Syed Muhamad Al-Junid yang merupakan mantan Ketua Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengekodan Klinikal, PPUKM.