Syarahan Perdana Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Muhammad Shahrul Izwan Halim

CHERAS, 1 Ogos 2019 – Seramai 160 orang tetamu jemputan dan warga KKL UKM telah hadir ke Majlis Syarahan Perdana Profesor yang bertajuk “Sistem Casemix: Serampang Dua Mata Untuk Menjamin Kualiti dan Kecekapan Perkhidmatan” telah disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid. Program anjuran Sekretariat Pentadbiran Fakulti Perubatan UKM telah diadakan di Auditorium, Kampus Kuala Lumpur UKM.

Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid merupakan rakyat Malaysia yang pertama memperolehi ijazah PhD dalam bidang ekonomi dan pembiayaan kesihatan pada tahun 1995. Fokus penyelidikan beliau adalah mengenai dasar, ekonomi dan pembiayaan kesihatan bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di negara membangun. Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid merupakan pelopor dalam pelaksanaan sistem casemix untuk kaedah bayaran kepada penyedia perkhidmatan di bawah program Insuran Kesihatan Nasional. Beliau pernah dilantik sebagai pakar perunding dalam bidang dalam ekonomi dan pembiayaan kesihatan kepada agensi antarabangsa seperti WHO, GIZ, European Union, Bank Dunia, International Atomic Energy Agency dan Asian Development Bank.

Dalam syarahan yang disampaikan beliau, casemix merupakan satu sistem pengkelasan pesakit berdasarkan ciri-ciri klinikal dan kos rawatan. Sistem ini digunakan untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan kesihatan dengan membantu hospital membuat keputusan strategik berdasarkan data-data yang dihasilkan oleh sistem ini. Sistem Casemix yang dibangunkan di UKM telah diperkenalkan ke 16 buah negara dan dianggarkan 500 juta penduduk mendapat manfaat melalui sistem ini sejajar dengan objektif untuk memperkasakan sistem kesihatan dan menuju ke arah pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat.

Turut hadir dalam majlis adalah Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, timbalan-timbalan Naib Canselor, kakitangan UKM, ahli keluarga dan rakan-rakan Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid.