UKM dan Aerodyne Ventures Sdn. Bhd. cetus penyelidikan dengan menggunakan teknologi dron

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Hang Jebat Mukhtar Affandi

CHERAS, 16 Ogos 2019 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Aerodyne Ventures Sdn. Bhd. yang berlangsung pada hari ini adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan keupayaan akademik dan penyelidikan serta menggalakan pembangunan dalam bidang industri bagi meningkatkan potensi komersial untuk kepentingan masyarakat.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Nor Ghani Md Nor, Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana) UKM, perkhidmatan perubatan dan kesihatan kini bertumpu kepada kemudahan capaian dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman yang kurang akses pengangkutan.

Kerjasama UKM melalui Fakulti Perubatan UKM dan syarikat antarabangsa Aerodyne Ventures Sdn. Bhd. adalah berkenaan kajian penyelidikan penggunaan dron atau Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dalam penghantaran perubatan. UAV atau dron merupakan kaedah pengangkutan yang berpotensi besar sebagai contoh di Rwanda, Afrika telah menggunakan dron sebagai medium pengangkutan untuk membawa bekalan darah bagi rawatan ibu-ibu yang memerlukan bekalan darah semasa melahirkan anak. Pelaksanaan sistem ini terbukti berjaya menyelamatkan nyawa di Rwanda dan menjimatkan kos.

Turut hadir dalam majlis ialah Encik Kamarulazman Bin Muhamed CEO and Founder Aerodyne Group, YBhg Prof. Dr. Zaleha Binti Abdullah Mahdy, Penyelaras MOU UKM-Aerodyne, Puan Azita Binti Azizan, Executive Director, ahli-ahli penyelidik Fakulti kejuruteraan Alam Bina & Fakulti Teknologi & Sains Maklumat UKM, pengurus kanan, ketua jabatan, dan kakitangan UKM dan Aerodyne Ventures Sdn Bhd.