BERITA: BASISKA 10 PLATFORM DEKATI MASYARAKAT

Disediakan Oleh: Khairunnisa binti Noryazed

Imej mungkin mengandungi: 19 orang, orang senyum, orang ramai

Program Bakti Siswa Sukarelawan Kolej Rahim Kajai (Basiska) anjuran Biro Kebajikan Kolej Rahim Kajai Universiti Kebangsaan Malaysia bertemakan “Satu Hati, Satu Komuniti” telah berlangsung selama 4 hari 3 malam iaitu pada 6 hingga 9 April 2019 di Kampung Alai, Telok Mas Melaka.

Basiska ini berkonsepkan program anak angkat dan ia berkesinambungan daripada Basiska 9 yang telah diadakan di Kampung Felda Pasoh 1, Negeri Sembilan pada 9 hingga 11 April 2018 tahun lalu.

Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa agar berkhidmat kepada masyarakat. Selain itu, program ini juga memupuk semangat insaniah dan keprihatinan mahasiswa terhadap masyarakat luar.

Pelbagai aktiviti menarik yang telah dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan penduduk kampung di sana. Antaranya termasuklah aktiviti sukan rakyat, slot bersama ibu tunggal, gotong royong membersihkan kawasan Kampung Alai serta Malam Kebudayaan dan makan malam secara BBQ.

Pengetua Kolej Rahim Kajai, Dr Badrulzaman Abd Hamid berkata, “Dengan adanya program sebegini, kita dapat memberi pendedahan kepada pelajar bagaimana untuk berkhidmat kepada masyarakat. Justeru, selepas mereka menamatkan pelajaran, mereka boleh meneruskan khidmat masyarakat ini kepada orang ramai”.