BERITA: JAGUH BINA BADAN NEGARA RASMIKAN PROJEK CONTENG 2.0

Disediakan oleh: Nurul Ain Binti Samad

Projek Conteng 2.0 adalah sebuah pertandingan melukis mural antara blok kediaman yang telah dianjurkan sepenuhnya oleh Kolej Rahim Kajai dengan kerjasama kesemua ketua dan penghuni blok kolej. Terdapat sejumlah lapan buah blok yang di kolej ini.

Tema bagi Projek Conteng 2.0 kali ini adalah berkenaan dengan ikon-ikon yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Sazali Samad dan ramai lagi.

Jangka masa pertandingan ini adalah selama seminggu iaitu bermula dari 25 Mac 2019 sehinggalah hari penutup dan perasmiannya iaitu pada 31 Mac 2019.

Pada Majlis Penutupan yang berlangsung semalam, jaguh bina badan negara, Sazali Samad telah hadir bagi merasmikan projek ini. Majlis telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran TNC HEPA Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Prof Madya Dr Hj Roslee Rajikan serta Pengetua & Timbalan Pengetua Kolej Rahim Kajai iaitu Dr Badrulzaman Abd Hamid dan Dr Roslan Ja’afar.

“Ini adalah kali kedua saya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan saya berasa terpegun serta bangga apabila melihat wajah saya sendiri dilakarkan di salah satu dinding yang ada di sini,” kata Sazali Samad ketika beliau memberi ucapan.

Majlis ini diteruskan lagi dengan jamuan makan malam serta penyampaian hadiah kepada para pemenang, dimana johan bagi pertandingan ini telah dimenangi oleh Blok B yang telah melakar wajah Sazali Samad, naib johan pula dimenangi oleh Blok F dengan lakaran wajah Dr Amalina dan tempat ketiga dimenangi oleh Blok Flatlet dengan lakaran wajah Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Kesemua pemenang bagi Projek Conteng 2.0 telah membawa pulang hamper beserta dengan sijil penghargaan.