BERITA: PAKKA 10 – MEMBENTUK JATI DIRI PELAJAR

Disediakan oleh: Nurul Nadhirah binti Mohd Ayob

Imej mungkin mengandungi: 1 orang, luaran

Pada 14 hingga 16 Mac yang lalu, Biro Pembangunan Akademik dan Inovasi Kolej Rahim Kajai, UKM telah menganjurkan sebuah program kepimpinan keusahawanan bersama 104 orang pelajar tingkatan 3 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SMSSMJ) bertempat di Sungai Petani, Kedah.

Program ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tersebut mengenai cara-cara untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, selain memupuk jati diri dan ‘soft skills’ dalam diri mereka.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan di mana antaranya adalah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), senamrobik, malam kebudayaan dan ‘Teenpreneuer’.

“Alhamdulillah saya bersyukur program yang telah menjadi satu kebanggaan Kolej Rahim Kajai ini telah berjaya dilangsungkan buat pertama kalinya di sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa. Saya berbangga dengan semua AJK yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dimana mereka sanggup mengorbankan waktu untuk memastikan segala aspek yang perlu dititikberatkan diambil kira bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar. Bagi saya, program ini telah berjaya mencapai matlamat kami untuk meningkatkan ‘soft skills’ bagi para pelajar mahupun mahasiswa/mahasiswi UKM”, ujar Muhammad Rizan Azim bin Abdul selaku Ketua Program bagi PAKKA 10.